ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Sultan Ibrahim Kerabat Diraja Pertama Terima Sayap Penerbangan TUDM Pada 1982

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai kerabat diraja pertama menerima sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1982 selepas menamatkan latihan sebagai juruterbang helikopter.

Pencapaian itu diraih Seri Paduka Baginda ketika bergelar Tunku Mahkota Johor.

Menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Johor, Sultan Ibrahim dibenarkan menerbangkan helikopter secara solo tanpa jurulatih di dalam kokpit selepas hanya empat jam menjalani latihan, susulan kecekapan dan ketabahan luar biasa yang ditunjukkan baginda.

“Pencapaian ini jarang berlaku dalam sejarah latihan penerbangan tentera negara memandangkan tempoh latihan sebelum seseorang pelatih dibenarkan terbang bersendirian lazimnya mengambil masa lebih panjang,” menurut hantaran itu.

Kepantasan dan ketepatan baginda menguasai kemahiran penerbangan turut membolehkan Sultan Ibrahim menamatkan latihan sebagai juruterbang dalam satu kumpulan lebih awal berbanding rakan sekursus.

Perjalanan ketenteraan Seri Paduka Baginda bermula selepas dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 susulan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Sultan Johor.

Sebelum mengikuti latihan penerbangan, baginda menjalani latihan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi, Johor sebagai komander platun sebelum dihantar ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikuti Kursus Pegawai Muda di Fort Benning, Georgia.

Baginda turut menjalani latihan lanjutan di Sekolah Peperangan Khas di Fort Bragg, North Carolina sebelum sekembalinya ke Johor dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) Johor.

Sultan Ibrahim kemudian mendaftar sebagai pelajar juruterbang helikopter TUDM dan menjalani latihan di PULATIBANG 2, Kluang pada 1982.

Pada 26 April tahun sama, baginda menerima sayap penerbangan dalam upacara perbarisan rasmi di PULATIBANG 2, Kluang, dengan baginda turut bertindak sebagai ketua perbarisan.

Pegawai Bertauliah Tiga Cabang Tentera

Sayap penerbangan itu disampaikan sendiri oleh Sultan Iskandar.

Selepas itu, Sultan Ibrahim meneruskan latihan dalam cabang ketenteraan lain termasuk latihan selama tiga bulan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Baginda turut menjalani latihan airborne dan ranger khusus untuk pegawai infantri sebelum mengikuti latihan American Special Forces dan Pathfinder yang melibatkan 19 terjunan payung terjun, sebahagiannya dilakukan pada waktu malam.

“Baginda merupakan seorang pegawai bertauliah dalam ketiga-tiga cabang utama angkatan tentera negara iaitu darat, laut dan udara,” menurut hantaran itu.

Kepelbagaian latihan ketenteraan yang dilalui Sultan Ibrahim menjadikan Seri Paduka Baginda antara kerabat diraja Malaysia yang memiliki latar belakang ketenteraan paling lengkap.

Warisan penerbangan baginda diteruskan sehingga kini menerusi Penerbangan Diraja Sultan Johor, iaitu unit penerbangan rasmi Istana Johor yang mengendalikan helikopter Sikorsky S-76 bagi keperluan rasmi dan peribadi Seri Paduka Baginda serta kerabat diraja Johor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *