ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Ibu Terkejut Anak Pulang Dari Mesir Dalam Bungkusan Besar Disangka Penapis Air

MARANG – Seorang ibu di Bukit Payong di sini terkejut apabila mendapati anak bongsunya berada di dalam bungkusan besar yang pada awalnya disangka mengandungi penapis air.

Khadijah Awang Min, 64, berkata beliau langsung tidak mengetahui kepulangan anaknya, Amir Hamzah Abdullah, 22, yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah di Mesir.

Menurutnya, kejutan itu dirancang anak-anaknya sempena hari lahir beliau dengan memberitahu bahawa satu hadiah bersaiz besar akan dihantar kepadanya.

“Daripada saiz kotak, saya ingat penapis air sebab tengok bungkusan itu besar. Saya memang tidak tahu apa-apa.

“Apabila dibuka, saya terkejut apabila nampak Amir di dalamnya. Memang tidak sangka langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Video kejutan kepulangan Amir yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @binjairebus sebelum ini meraih 319,500 tontonan dan 18,500 tanda suka.

Khadijah berkata kepulangan anak bongsu daripada 11 beradik itu lebih bermakna kerana mereka sudah lebih setahun tidak berjumpa.

Beliau berkata Amir sebelum ini ada merancang untuk pulang, namun adik-beradiknya merahsiakan kepulangan itu bagi memastikan kejutan berkenaan berjaya.

“Memang terkejut dan dalam masa sama sangat gembira dapat jumpa Amir. Saya ingat dia belum balik lagi dan masih perlu membuat persiapan untuk kepulangannya.

“Rupa-rupanya anak-anak sudah merancang semuanya,” katanya.

Menurut Khadijah, abang Amir yang tinggal di Kuala Lumpur turut membantu membawa pulang adiknya sebelum ditempatkan sementara di rumah kakak mereka tanpa pengetahuannya.

Katanya, Amir juga tidak menunjukkan sebarang petanda yang boleh menimbulkan syak wasangka sehingga kejutan itu berjaya dilakukan.

Khadijah berkata kejutan bertemu semula dengan anak selepas sekian lama berjauhan menjadi kenangan paling bermakna buatnya kerana ia diterima bersempena ulang tahun kelahirannya pada 29 Julai lepas.

“Ini antara hadiah paling terbaik dalam hidup saya. Dapat jumpa anak selepas sekian lama, memang sangat menggembirakan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *