ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Akta Tabung Haji Akan Dipinda, Pelihara Amanah Umat Islam – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pindaan itu merupakan antara langkah Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tatakelola serta memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.

“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam.

“Manakala AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) 1971 mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong suara mahasiswa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau negeri.

Beliau berkata rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga wajar dibela kerana amanah kerajaan adalah kepada seluruh rakyat dan negara, bukan hanya penyokong atau negeri tertentu.

Bersempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 yang berakhir malam tadi, Anwar yang juga Presiden PKR berkata parti itu memilih jalan berteraskan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar tanpa menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita reformasi demi mempertahankan kuasa.

Beliau berkata PKR perlu kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua lapisan masyarakat merentas kaum, agama dan wilayah dengan prinsip keadilan diterjemahkan melalui dasar serta tindakan.

“Kekuatan Keadilan bergantung pada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh dan gerak kerja yang tersusun. Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan.

“Rapatkan barisan, perkemas gerak kerja dan terus mara demi rakyat dan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *