ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Puluhan Ribu Balu Di Gaza Pikul Beban Keluarga Dalam Kehidupan Tak Menentu

GAZA – Di bawah bahang panas dalam sebuah khemah pelarian di utara Gaza, Mona al-Masri memulakan setiap hari dengan persoalan sama iaitu bagaimana mendapatkan air dan makanan serta memastikan empat anaknya terus bertahan.

Mona merupakan antara puluhan ribu wanita di Gaza yang kehilangan suami selepas Mohammed terbunuh dalam serangan Israel pada September 2024.

Ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga sembilan tahun itu kini memikul sendiri tanggungjawab menjaga keluarganya dalam keadaan kehilangan tempat tinggal dan keselamatan.

Setiap pagi, Mona perlu mencari bekalan air, menyediakan makanan serta berusaha melindungi anak-anaknya dalam kehidupan yang jauh berbeza berbanding sebelum perang bermula pada 2023.

“Tiada kehidupan normal di dalam khemah. Setiap hari bermula dengan persoalan sama, bagaimana kami hendak mendapatkan keperluan dan bagaimana kami mahu melalui satu lagi hari dalam keadaan yang begitu meletihkan?” katanya.

Menurut Mona, perang bukan sahaja meragut kediaman mereka, malah memusnahkan rasa selamat dan kestabilan sehingga keperluan asas sekalipun memerlukan usaha yang besar untuk dipenuhi.

Mona menghabiskan setiap hari berusaha menyediakan keperluan untuk anak-anaknya. – Foto Al Jazeera

Lebih 28,000 wanita kehilangan suami

Data Kementerian Pembangunan Sosial Gaza menunjukkan jumlah balu di wilayah itu kini melebihi 50,000 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 28,224 wanita kehilangan suami akibat perang, manakala lebih 22,500 lagi telah didaftarkan sebagai balu sebelum konflik tercetus.

Jurucakap kementerian, Aziza al-Kahlout berkata jumlah sebenar dijangka lebih tinggi berikutan masih terdapat balu yang belum didaftarkan.

Beliau berkata konflik berkenaan menyebabkan golongan wanita itu terpaksa menyara keluarga tanpa pasangan ketika kemusnahan berlaku secara meluas dan keadaan asas untuk menjalani kehidupan bermaruah semakin terjejas.

Situasi berkenaan memerlukan pelaksanaan program berkesan termasuk penyediaan peluang pekerjaan, pemerkasaan ekonomi dan usaha membantu golongan itu keluar daripada kemiskinan.

Namun, katanya, bantuan kewangan semata-mata tidak mencukupi.

Al-Kahlout berkata golongan balu turut memerlukan sokongan psikologi dan sosial, penjagaan kesihatan serta bantuan perundangan berkaitan penjagaan anak, hak kewangan dan pewarisan.

Mereka juga memerlukan bantuan kewangan secara berkala, bantuan kecemasan, pendidikan dan latihan kemahiran, selain sokongan untuk menjalankan perniagaan kecil serta perusahaan berasaskan keluarga.

Penduduk Palestin yang dipindahkan berjalan melewati runtuhan bangunan dan ratusan penempatan khemah di Khan Yunis, selatan Gaza. – Foto AFP

Terpaksa sembunyikan kesedihan

Kehilangan suami dalam keadaan perang bukan sahaja meragut pasangan hidup, malah berlaku serentak dengan kehilangan rumah, perpindahan dan kemerosotan taraf kehidupan.

Pakar psikologi, Aseel Abu Shaweesh berkata kehilangan pasangan ketika perang merupakan pengalaman traumatik yang memberi kesan psikologi dan sosial mendalam terhadap wanita serta anak-anak mereka.

“Seorang balu di Gaza berdepan kesedihan kehilangan suami, tanggungjawab menyara keluarga dan menjaga anak-anak dalam persekitaran yang dipenuhi ketakutan serta ketidakstabilan,” katanya.

Menurutnya, ramai wanita terpaksa menyembunyikan kesedihan dan tekanan emosi demi kelihatan kuat di hadapan anak-anak.

Tekanan harian yang berterusan serta ketiadaan ruang untuk meluahkan kesedihan pula boleh meningkatkan tahap kebimbangan dan keletihan psikologi.

Kanak-kanak yang kehilangan bapa turut menerima kesan mendalam, terutama apabila tragedi berkenaan disusuli kehilangan tempat tinggal serta kemerosotan keadaan kehidupan.

Mereka berdepan risiko mengalami ketakutan berpanjangan, gangguan tidur dan perubahan tingkah laku akibat pengalaman traumatik yang dilalui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *