Alexander Tidak Pertahan Kerusi Parlimen Pada PRU Akan Datang
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas lima penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.
Alexander yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagaimanapun berkata beliau tidak akan meninggalkan arena politik, sebaliknya berhasrat meneruskan perjuangan melalui platform berbeza.
Beliau berkata sekiranya sempat diwartakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, beliau berhasrat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu dalam Parlimen Kapit.
“Sebenarnya saya memang agak teguh untuk melepaskan Parlimen ini. Saya tidak bersara daripada politik, namun mungkin akan meneruskan perjuangan politik melalui cara lain dan bukan lagi sebagai Ahli Parlimen.
“Sudah hampir 30 tahun saya sebagai Ahli Parlimen. Saya sudah memegang pelbagai jawatan antaranya Timbalan Menteri di Kementerian Luar Bandar, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan sekarang Kementerian Kerja Raya.
“Saya rasa sudah sampai kita beri peluang kepada generasi muda (di Parlimen),” katanya kepada BH.
Mengenai hasrat bertanding di kerusi DUN baharu yang dikenali sebagai Melekun, Alexander berkata perkara itu masih tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Ia perlu disahkan SPR. Kita difahamkan SPR akan buat pameran dan akan mengumumkannya nanti.
“Jika ada DUN baharu di Parlimen Kapit, saya sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di sana,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata pencalonan Alexander dalam PRN Sarawak masih belum dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.
Alexander berkata beliau kini mahu memberi lebih tumpuan kepada pembangunan di peringkat negeri, khususnya di Kapit, meskipun tidak lagi bergelar Ahli Parlimen.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas hampir tiga dekad berkhidmat sebagai wakil rakyat di peringkat Parlimen dan melihat sudah tiba masanya ruang berkenaan diberikan kepada generasi muda.
