ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Wong Chen Umum Keluar PKR Sertai BERSAMA

PUCHONG – Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) berkuat kuasa hari ini.

Pengasas BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan perkara itu pada sidang media di Ibu Pejabat BERSAMA di sini hari ini.

Sebelum ini, Wong Chen mengesahkan peletakan jawatannya secara sukarela sebagai Ahli Parlimen Subang yang berkuat kuasa kelmarin, sekali gus menamatkan khidmatnya sebagai wakil rakyat kawasan itu selepas beberapa penggal bersama PKR.

Dalam sidang media sama, Wong Chen memohon maaf kepada rakyat khususnya penduduk Parlimen Subang kerana memilih untuk meletakkan jawatan setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata permohonan maaf itu bukan kerana keputusan meletakkan jawatan, sebaliknya kerana tidak menunggu sehingga tempoh PRU akan datang.

“Ini adalah keputusan yang saya buat secara sedar. Saya memohon maaf kerana tidak berkhidmat untuk tempoh setahun lagi, enam bulan lagi atau tiga bulan lagi kerana kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.

“Saya sudah menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dengan penuh tanggungjawab. Kini, saya perlu melaksanakan bahagian kedua iaitu mempertahankan demokrasi dan memperjuangkan reformasi.

“Saya melihat saluran untuk melakukan perkara itu adalah dengan menjadi anggota parti BERSAMA,” katanya.

Wong Chen berkata keputusan meletakkan jawatan itu didorong oleh tanggungjawab untuk mempertahankan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding semula pada pilihan raya akan datang di bawah payung BERSAMA, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti.

“Sama ada saya akan bertanding semula di Subang pada pilihan raya akan datang, itu terpulang kepada BERSAMA. Namun, sudah tentu saya akan terus bekerja di Subang.

“Saya juga akan membuka pejabat di Subang. Ada proses untuk menurunkan semua papan tanda, tetapi saya mahu memberi jaminan kepada penduduk bahawa saya masih berada di sini. Saya masih Wong Chen yang mereka kenal,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan turun padang untuk menjelaskan keputusannya kepada masyarakat selain memohon maaf kepada penduduk yang berasa kecewa dengan peletakan jawatan berkenaan.

“Masih ramai yang marah, tetapi berdasarkan komen di Facebook dan media sosial saya, kira-kira 80 hingga 90 peratus memberikan reaksi positif susulan peletakan jawatan.

“Namun, kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang. Saya berharap penduduk Subang memahami apa yang cuba saya sampaikan hari ini dan menerima keputusan yang saya buat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *