ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Perjuangan PKR belum selesai, teruskan islah demi Malaysia lebih baik – Fuziah

KUALA LUMPUR: Perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membawa perubahan dan membina Malaysia yang lebih baik masih belum selesai, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Fuziah Salleh.

Menerusi hantaran di media sosial, Fuziah berkata perjuangan reformasi yang melahirkan PKR sejak awal menuntut parti itu sentiasa melakukan proses islah atau penambahbaikan yang membawa perubahan ke arah kebaikan.

Menurutnya, perubahan itu perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam organisasi parti, malah melalui cara pemimpin dan anggota PKR melaksanakan tanggungjawab serta amanah kepada rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan PKR dalam kerajaan pada hari ini tidak bermakna matlamat perjuangan parti berkenaan telah tercapai sepenuhnya.

Sebaliknya, tanggungjawab yang dipikul semakin besar kerana parti itu kini perlu membuktikan bahawa gagasan reformasi mampu diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran, dasar dan penyelesaian yang benar-benar memberi manfaat kepada kehidupan rakyat.

Fuziah sebelum ini turut menegaskan bahawa PKR lahir daripada perjuangan panjang rakyat sejak era Reformasi dan melalui pelbagai cabaran termasuk tekanan, perpecahan dalaman serta kekalahan dalam pilihan raya.

Menurutnya, setiap cabaran itu telah mematangkan parti, manakala perjuangan PKR kini bukan lagi sekadar menuntut perubahan tetapi turut melibatkan tanggungjawab melaksanakan dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Kenyataan terbaharu itu hadir ketika PKR berdepan perubahan dalam landskap politik semasa, termasuk tindakan beberapa pemimpin dan anggota meninggalkan parti serta kemunculan wadah politik baharu.

Bagaimanapun, kepimpinan PKR sebelum ini menegaskan bahawa parti tersebut masih mempunyai lebih sejuta anggota dan akan terus memperkukuh organisasi serta jentera akar umbi bagi menghadapi cabaran politik akan datang.

Fuziah berkata perjuangan berasaskan reformasi perlu diteruskan secara konsisten agar PKR tidak melupakan asas penubuhannya sebagai gerakan yang memperjuangkan keadilan, integriti dan perubahan.

Jelasnya, usaha membentuk Malaysia yang lebih baik memerlukan komitmen berterusan, keberanian melakukan pembaharuan dan kesediaan memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *