ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jemaah Menteri Setuju Laporan RCI TH Dikelaskan Semula, Didedahkan Hari Ini

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan kepada umum Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, laporan itu turut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH serta meneliti kandungan laporan berkenaan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

“Jemaah Menteri bersetuju supaya laporan ini dinyahklasifikasikan dan didedahkan kepada umum hari ini.

“Laporan tersebut juga akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik institusi berkenaan.

Terdahulu, pemimpin Parti BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan berkata laporan RCI itu sepatutnya didedahkan seawal 2023, iaitu selepas siasatan selesai dijalankan.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut mendakwa kelewatan pendedahan laporan berkenaan berpunca daripada pendekatan berhati-hati kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, laporan RCI berkenaan mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.

Beliau berkata, Kabinet turut mengambil maklum prestasi semasa TH yang semakin bertambah baik, termasuk pengumuman agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.

“Perkembangan ini menunjukkan pengurusan TH kini berada dalam keadaan yang lebih kukuh,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Jemaah Menteri turut memutuskan supaya siasatan menyeluruh oleh agensi penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan RCI tersebut.

Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang akan dihadapkan ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *