ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Hiburan

Syed Saddiq, Bella Astillah Sudah Ada Tarikh Nikah, Tunggu Masa Untuk Umum

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan tarikh pernikahannya dengan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, telah dipersetujui oleh kedua-dua keluarga, namun belum bersedia untuk diumumkan kepada umum.

Menurut beliau, buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat serta beberapa kenalan rapat dimaklumkan mengenai tarikh tersebut kerana mereka mahu menghormati kedua-dua keluarga sebelum membuat pengumuman rasmi.

Perkara itu dikongsikan Syed Saddiq menerusi program audio siar BASScast yang dikendalikannya bersama Bella pada malam Selasa.

Beliau berkata, majlis resepsi dijangka diadakan di beberapa lokasi termasuk di Sabah dan Johor bagi memberi peluang kepada kedua-dua belah keluarga meraikan hari bahagia mereka.

Syed Saddiq turut mendedahkan perancangan perkahwinan hanya dapat diteruskan selepas beliau dibebaskan daripada semua pertuduhan oleh Mahkamah Persekutuan pada Isnin lalu.

“Sebelum ini kami tidak berani membuat sebarang perancangan selagi keputusan mahkamah belum diketahui.

“Malah ada pihak yang bertanya bila persiapan boleh dimulakan, tetapi kami memilih untuk menangguhkannya sehingga semuanya selesai,” katanya.

Mengulas hubungan mereka, Syed Saddiq menyifatkan Bella sebagai individu yang sentiasa berada di sisinya ketika melalui pelbagai cabaran hidup.

Menurutnya, pengalaman bekerja bersama di Semporna, Sabah menjadi detik yang membuka ruang untuk beliau mengenali keperibadian Bella dengan lebih dekat.

“Saya dapat melihat sendiri etika kerja Bella yang sangat fokus dan komited terhadap setiap tugasan.

“Walaupun sibuk sebagai anak seni, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu, anak dan kakak. Bella juga sentiasa memikirkan cara untuk membantu masyarakat setempat.

“Itulah yang membuatkan saya semakin menghargai dirinya kerana keluarga sentiasa menjadi keutamaan buat Bella,” katanya.

Sementara itu, Bella mengakui cabaran terbesar dalam hubungan mereka adalah membahagikan masa memandangkan kedua-duanya mempunyai jadual kerja yang padat.

Katanya, komitmen kerjaya dalam industri hiburan sering memerlukan beliau bekerja sehingga lewat malam, manakala Syed Saddiq pula terikat dengan urusan Parlimen dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat pada waktu siang.

“Masa adalah cabaran terbesar buat kami. Jika saya menjalani penggambaran atau rakaman lagu, kebanyakannya berlangsung pada waktu malam.

“Dia pula sibuk dengan urusan Parlimen dan tugasan di kawasan. Jadi kami sentiasa mencari ruang untuk meluangkan masa bersama,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Bella berkata beliau memilih untuk tidak melayan pelbagai kritikan dan fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada keluarga, kerjaya dan kesihatan mental.

Menurutnya, mengambil tindakan terhadap setiap kritikan bukan keutamaan kerana masih banyak perkara lebih penting yang perlu diberi perhatian.

“Ramai yang meminta saya mengambil tindakan, tetapi bagi saya ia hanya membuang masa.

“Saya mempunyai anak-anak yang perlu dijaga, kerjaya yang perlu diutamakan dan pelbagai perancangan lain. Saya tidak mahu perkara negatif menjejaskan diri serta kesihatan mental,” katanya.

Bella turut berharap orang ramai tidak melibatkan ahli keluarganya dalam sebarang kritikan.

“Saya bangga dengan siapa diri saya dan latar belakang keluarga saya yang berketurunan Kadayan Brunei serta mempunyai susur galur dari Filipina.

“Saya tidak kisah apa sahaja yang diperkatakan mengenai diri saya, tetapi jangan babitkan ibu bapa saya.

“Kita hanya hidup sekali, jadi lakukan perkara yang membawa kebaikan,” katanya.

Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Sebelum ini, Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz pada 2016. Pasangan itu bercerai pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh edah, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *