Agong Mahu Pembangunan Kuala Lumpur Perlu Beri Manfaat Menyeluruh Kepada Rakyat
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan pandangan serta nasihat membina berhubung agenda pembangunan Kuala Lumpur dengan menekankan kepentingan tadbir urus yang cekap, penyampaian perkhidmatan berkualiti dan usaha berterusan untuk meningkatkan kesejahteraan warga kota.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kebajikan rakyat serta pembangunan yang seimbang agar setiap dasar dan perancangan yang dilaksanakan memberi manfaat menyeluruh kepada masyarakat.
Perkara itu dizahirkan ketika Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, di Istana Negara hari ini.
Menurut hantaran berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima taklimat mengenai inisiatif Reformasi Kuala Lumpur yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan bandar termasuk keselamatan, pengurusan bandar serta perancangan masa depan ibu negara.
“Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan dan nasihat yang konstruktif berkaitan hala tuju pembangunan Kuala Lumpur demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut hantaran itu.
Turut hadir pada sesi menghadap tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
