NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Dunia

Umat Islam Seluruh Dunia Menyambut Aidiladha

ISTANBUL – Umat Islam di seluruh dunia hari ini menyambut Aidiladha atau Hari Raya Korban dalam suasana penuh kesyukuran dan penghayatan terhadap pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anakandanya demi mematuhi perintah Allah SWT, lapor Anadolu Ajansi.

Perayaan yang menjadi antara hari kebesaran utama umat Islam itu diraikan dengan pelbagai pengisian termasuk menunaikan solat sunat Aidiladha, ibadah korban, bersedekah serta mengeratkan silaturahim bersama keluarga dan masyarakat.

Tradisi korban turut dilaksanakan di banyak negara dengan penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri sebelum daging diagihkan kepada ahli keluarga, jiran serta golongan memerlukan.

Aidiladha juga berkait rapat dengan ibadah haji di Arab Saudi yang kini memasuki kemuncak pelaksanaannya.

Rukun haji bermula secara rasmi pada Isnin apabila jutaan jemaah tiba di Mina sebelum bergerak ke Arafah untuk ibadah wukuf, diikuti bermalam di Muzdalifah dan melontar jamrah di Mina.

Jemaah kemudiannya meneruskan Tawaf Ifadah dan akan menamatkan ibadah haji dengan Tawaf Widak sebelum meninggalkan Makkah.

Di Turkiye, ribuan umat Islam memenuhi masjid di seluruh negara sejak awal pagi bagi menunaikan solat sunat Aidiladha termasuk di Masjid Agung Hagia Sophia dan Masjid Sultan Ahmed di Istanbul yang menyaksikan kehadiran luar biasa jemaah tempatan serta pelancong asing.

Selesai solat, orang ramai dilihat saling bersalaman dan bertukar ucapan Aidiladha dalam suasana penuh kemesraan.

Sambutan Aidiladha turut berlangsung meriah di Azerbaijan apabila umat Islam membanjiri masjid di ibu negara Baku seawal pagi bagi mendoakan keamanan dan kesejahteraan negara serta dunia Islam.

Kehadiran jemaah yang terlalu ramai menyebabkan sebahagian mereka menunaikan solat di kawasan pekarangan dan taman berhampiran masjid.

Di Asia Tengah termasuk Kazakhstan dan Kyrgyzstan, umat Islam turut berhimpun di masjid dan dataran awam bagi menunaikan solat Aidiladha sambil mendengar khutbah berkaitan hikmah pengorbanan dan perpaduan ummah.

Di Bishkek, Kyrgyzstan, ribuan jemaah memenuhi Dataran Ala-Too dan kawasan sekitarnya sehingga melimpah ke jalan-jalan utama.

Negara-negara Balkan seperti Bosnia-Herzegovina, Serbia, Montenegro, Croatia, Macedonia Utara, Albania dan Kosovo juga menyambut Aidiladha dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.

Sementara itu, kira-kira 140,000 jemaah dilaporkan menunaikan solat Aidiladha di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis walaupun berdepan kawalan ketat polis Israel di sekitar Kota Lama, menurut Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis.

Di Arab Saudi pula, Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan jemaah haji kini meneruskan ibadah di Mina bagi melaksanakan lontaran di ketiga-tiga jamrah sepanjang Hari Tasyrik sebelum mengakhiri haji dengan Tawaf Widak.

Dalam perkembangan berkaitan, Syarikat Kereta Api Arab Saudi (SAR) memaklumkan lebih 357,000 jemaah berjaya dipindahkan dari Muzdalifah ke Mina menerusi Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah pada Rabu.

Menurut SAR, jumlah keseluruhan penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu sepanjang empat fasa operasi kini melebihi 961,000 orang, manakala lebih 2,000 perjalanan dijadualkan dilaksanakan sepanjang musim haji tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *