“Istana Johor Nasihat Saya Mohon Maaf Kepada Zahid” – Onn Hafiz
KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mendedahkan nasihat daripada institusi diraja Johor menjadi faktor beliau mengambil keputusan memohon maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi selepas pernah menggesa pemimpin itu berundur susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim menasihatinya secara peribadi bahawa kenyataan yang dibuat ketika itu dianggap keterlaluan dan langkah terbaik adalah memperbaiki keadaan demi kestabilan pentadbiran negeri.
“Mereka beritahu saya tidak mengapa untuk memohon maaf dan pergi berjumpa presiden saya. Kita ada sebuah negeri untuk ditadbir,” katanya dalam episod ke-200 podcast politik Keluar Sekejap.
Menurut Onn Hafiz, beliau kemudian bertemu Zahid dan memohon maaf tanpa sebarang syarat.
“Saya memohon maaf sekiranya kenyataan saya menyinggung perasaan beliau. Alhamdulillah, saya rasa beliau sudah memaafkan saya.
“Dari segi hubungan parti dan urusan pentadbiran, perkara itu kini dianggap selesai,” katanya.
Pengakuan itu dibuat selepas pengacara bersama podcast berkenaan, Shahril Hamdan membangkitkan hakikat bahawa Onn Hafiz merupakan antara pemimpin UMNO terawal yang secara terbuka mendesak Zahid melepaskan jawatan selepas PRU15, namun tidak dikenakan tindakan disiplin.
“Awak yang pertama menyatakannya. Saya hanya yang kedua, tetapi saya pula yang digantung,” kata Shahril secara berseloroh.
Onn Hafiz bagaimanapun tidak mengelak daripada menjawab isu berkenaan.
“Pada masa itu, saya menerima nasihat daripada istana Johor dan saya juga banyak berdoa,” katanya sambil mengundang gelak tawa hos program tersebut.
Pada PRU15, BN hanya berjaya memenangi 30 kerusi Parlimen, sekali gus mencetuskan desakan dalam kalangan ahli parti supaya Zahid mencontohi Najib Razak yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi BN selepas kekalahan pada PRU14.
