NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Malaysia bantah keputusan Norway batal lesen eksport sistem misil

KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dan sistem pelancar berkaitannya yang disifatkan sebagai tindakan unilateral serta menjejaskan kepentingan strategik negara. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantahan itu disampaikan secara langsung kepada Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre menerusi perbualan telefon susulan keputusan Norway menarik balik lesen eksport atas alasan keselamatan negara mereka. 

Anwar berkata, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak tersebut sejak 2018 secara teliti, penuh tanggungjawab dan tanpa sebarang pelanggaran. – Foto Facebook/Anwar Ibrahim

Menurut Anwar, Malaysia telah memenuhi setiap obligasi di bawah kontrak sejak 2018 dengan penuh tanggungjawab dan tanpa sebarang pelanggaran, namun Norway dilihat gagal membalas komitmen tersebut dengan tahap kepercayaan yang sama. 

Beliau turut menegaskan tindakan berkenaan memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara termasuk program pemodenan Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain berpotensi memberi implikasi kepada keseimbangan keselamatan serantau. 

Sebelum ini, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertahanan memaklumkan akan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada Norway, selain mempertimbangkan tindakan undang-undang susulan pembatalan permit eksport berkenaan. 

Kontrak pemerolehan NSM antara TLDM dan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace dimeterai pada 2018 dengan nilai sekitar 124 juta euro bagi melengkapkan kapal LCS negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *