61 Tikaman: Dua Remaja Lelaki Dibawa Ke Mahkamah Untuk Sambung Reman
Suspek berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh penuntut kolej di Ketereh
Dua remaja lelaki yang sebelum ini ditahan berhubung kes pembunuhan seorang penuntut kolej dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Jumaat lalu, dibawa ke mahkamah hari ini bagi proses sambung reman.
Kedua-dua suspek berusia 19 tahun termasuk seorang pelajar kolej di Kuala Krai tiba di mahkamah sekitar jam 8.50 pagi dengan diiringi anggota polis.
Sebelum ini, mereka direman selama tujuh hari dan tempoh reman tersebut berakhir hari ini sebelum polis memohon sambungan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam kejadian Jumaat lalu, mayat mangsa yang juga berusia 19 tahun ditemui di Kampung Padang Simah, Ketereh dalam keadaan menyayat hati dengan 61 kesan tikaman pada seluruh anggota badan.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditemui tanpa sebarang dokumen pengenalan diri namun identitinya berjaya dikenal pasti menerusi semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Polis percaya mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan terbabit.
Susulan kes itu, empat individu termasuk dua warga emas yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek turut ditahan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, kedua-dua warga emas terbabit dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin.
