ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

26 Pertuduhan Ditarik Balik Selepas Nicky Liow Bayar Kompaun RM10 Juta – AGC

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan kesemua 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau Nicky Liow, ditarik balik selepas beliau membayar kompaun berjumlah RM10 juta pada 2023.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu ditawarkan selepas meneliti secara terperinci surat representasi yang dikemukakan oleh pihak Liow berdasarkan keseluruhan keterangan sedia ada serta penilaian pihak pendakwaan.

Menurut kenyataan itu, Liow bersetuju dengan jumlah kompaun yang ditawarkan dan menjelaskan bayaran tersebut pada 29 Mei 2023.

“Kompaun itu turut merangkumi pelucuthakan bon berjumlah RM647,366 serta harta-harta yang telah disita.

“Susulan pembayaran kompaun itu selaras dengan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Jabatan ini telah menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Nicky Liow,” menurut kenyataan itu.

AGC berkata pada 15 Jun 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Liow dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut AGC, Liow sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 Akta 613.

Kes berkenaan ditetapkan untuk perbicaraan pada beberapa tarikh antara Julai hingga September 2023.

Bagaimanapun, melalui firma guaman Tetuan Rajpal, Firah dan Vishnu, Liow mengemukakan surat representasi bertarikh 15 Dis 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon supaya kesemua pertuduhan dikompaunkan di bawah Seksyen 92 Akta 613.

AGC berkata keputusan menawarkan kompaun dibuat selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

“Ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang berdasarkan keterangan hasil siasatan secara keseluruhan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, dengan mengambil kira integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan Liow tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya tindakan kompaun dan penarikan balik pertuduhan dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *