Buli Tak Semestinya Fizikal, Pelajar Perlu Tahu Tribunal Antibuli Wujud
KUALA LUMPUR – Bila seseorang pelajar berdepan buli, perkara paling penting ialah mereka tahu ke mana perlu mendapatkan bantuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kesedaran mengenai kewujudan Tribunal bagi Antibuli (TAB) dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan.
Menurutnya, tribunal itu boleh menjadi saluran alternatif sekiranya pihak sekolah tidak mengambil tindakan atau gagal memberikan respons sewajarnya terhadap laporan buli yang dibuat.
Lebih penting, buli bukan hanya berlaku secara fizikal. Gangguan dan tekanan secara emosi juga boleh memberi kesan kepada mangsa dan perlu diberi perhatian.
Azalina berkata pendekatan menangani buli tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada hukuman. Sebaliknya, proses intervensi dan pemulihan juga perlu diberi keutamaan.
Beliau menjelaskan, TAB diwujudkan di bawah Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa dan dilancarkan pada 16 Jun lalu. Tribunal itu tidak bertujuan menghukum, sebaliknya memberi ruang untuk proses rehabilitasi.
Setakat ini, lebih 60 laporan kes berkaitan buli telah diterima tribunal sejak ia dilancarkan.
Justeru, Azalina mengingatkan pelajar bahawa mereka boleh membuat laporan kepada TAB sekiranya berasa tidak selesa, diganggu atau dibuli, sama ada melibatkan rakan, rakan sekelas, guru atau rakan sebaya.
Sumber/ Foto : Berita Harian
