Polis Teliti CCTV, Buru Lelaki Disyaki Khianat Masjid di Tumpat
TUMPAT – Ketika jemaah sepatutnya datang ke masjid untuk beribadah, ruang solat Masjid Al-Aziz Al-Hadi di Kota SPP Warisan, Tumpat pula dikesan telah dicemari dalam kejadian awal pagi Isnin lalu.
Polis kini sedang mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan menunjukkan kelibat seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira 6.35 pagi berhubung kejadian tersebut.
Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan, manakala cecair berwarna coklat kehijauan dan berbau kurang menyenangkan dipercayai telah dituang pada karpet di ruang solat.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Polis turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat di 09-725 6226.
Sumber : BERNAMA
Foto : METRO!
