ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

U Mobile Capai 90% Liputan 5G Nasional, 9 Bulan Lebih Awal

KUALA LUMPUR – Kalau sebelum ini capaian 5G masih menjadi persoalan di sesetengah kawasan, perkembangan terbaharu menunjukkan rangkaian itu semakin meluas.

U Mobile kini berjaya mencapai 90 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, iaitu sembilan bulan lebih awal daripada sasaran asal pada Julai 2027.

Pencapaian itu hadir selepas U Mobile melepasi sasaran 80 peratus CoPA pada Mac 2026, kurang sembilan bulan selepas pelaksanaan rangkaian 5G mereka bermula pada Julai 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pencapaian tersebut melengkapkan komitmen liputan rangkaian 5G kedua Malaysia dan menjadi asas kepada fasa seterusnya dalam pembangunan infrastruktur digital negara.

Menurut beliau, tumpuan selepas ini bukan sekadar memperluas rangkaian, tetapi menggalakkan lebih banyak syarikat memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing.

Pada masa sama, Fahmi mengakui masih terdapat kawasan yang memerlukan penambahbaikan dari segi kualiti perkhidmatan dan pengaksesan. Justeru, pengendali rangkaian mudah alih perlu terus memainkan peranan merapatkan jurang kesalinghubungan.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck pula berkata pencapaian itu bukan hanya soal mencapai angka liputan, sebaliknya membuka lebih banyak ruang untuk rakyat berkomunikasi, belajar, bekerja dan mengakses perkhidmatan digital.

Dengan sasaran 90 peratus berjaya dicapai lebih awal, U Mobile kini akan terus memperkukuh pengalaman ULTRA5G dan memperluas manfaat kesalinghubungan digital kepada pengguna, perniagaan, komuniti serta perkhidmatan awam.

Sumber : Berita Harian
Foto : IG Teo Nie Ching

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *