ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Nasi Goreng RM50, Jualan RM555,000: Dua Cerita di Sebalik F1 Sepang

KUALA LUMPUR – Di F1, bukan kereta sahaja yang bergerak laju. Harga makanan juga terus mencanak-canak naik sampai sepinggan nasi goreng RM50 menjadi bualan ramai.

Ada yang berkongsi harga minuman Milo ais disana RM25 dan minuman-minuman lain berharga sehingga RM25 ke RM30. Bagi pengunjung khususnya rakyat tempatan, jumlah begitu tentu terasa jauh bezanya daripada harga makanan di luar litar. Apabila tiket, perjalanan dan makan semuanya perlu dikira, pengalaman menonton perlumbaan boleh bertukar menjadi soal bajet.

Namun, di tengah-tengah perbualan tentang harga, ada satu lagi angka yang wajar diberi perhatian iaitu RM555,000.

Foto : KUSKOP

Jumlah tersebut merupakan pendapatan kasar jualan makanan dan minuman oleh 40 usahawan mikro tempatan di Litar Rasa MADANI dan G Hillstand sepanjang tiga hari F1 di Sepang. Sasaran awal RM500,000 berjaya dilepasi. Jika dibahagi secara purata, angkanya sekitar RM13,875 bagi setiap peniaga untuk tiga hari. Tetapi jualan sebenar setiap gerai tentu berbeza, dan angka tersebut belum ditolak dengan kos perniagaan lagi.

Di sebalik isu harga makanan, ada juga kisah peniaga kecil yang mencari rezeki di tengah-tengah acara besar seperti F1. Peluang ini lebih terasa manfaatnya apabila mereka dapat berniaga tanpa dibebani kos tapak yang terlalu tinggi.

Menurut laporan, peniaga Litar Rasa MADANI tidak dikenakan sewa tapak atau komisen jualan; mereka hanya perlu membayar RM180 sahaja untuk lesen perniagaan. Sebagai perbandingan, kadar komersial di G Hillstand bagi tempoh tiga hari dilaporkan melebihi RM6,000 tidak termasuk SST, dengan komisen 15 peratus daripada jualan kasar.

Pengunjung yang hadir ke F1 bukan sahaja mahu menyaksikan perlumbaan, malah mereka memerlukan makanan dan minuman sepanjang acara berlangsung dan harga yang terlalu tinggi boleh menjejaskan suasana dan pengalaman mereka sepanjang perlumbaan. Pada masa yang sama, acara ini membuka peluang kepada peniaga tempatan untuk menambah pendapatan. Harga yang berpatutan dapat memastikan manfaatnya dirasai oleh peniaga dan pengunjung.

Di Litar Rasa MADANI, pengunjung boleh memilih lebih daripada 100 jenis makanan dan minuman. Nasi lemak ayam rendang dijual pada harga RM15, air mineral RM3, sementara pencuci mulut ditawarkan bermula daripada RM1. Harga di gerai ini berbeza daripada beberapa harga yang tular di kawasan lain. Ini kerana gerai-gerai beroperasi dengan aturan dan kos yang berbeza, maka harga setiap peniaga juga tidak semestinya sama. Jadi, penting untuk tidak menyamakan semua gerai atau semua pengusaha seolah-olah mereka menawarkan harga dan menanggung kos yang sama.

Kejayaan acara tidak sepatutnya diukur dengan deruman enjin dan jumlah pengunjung semata-mata. Ia juga perlu dilihat melalui aspek peluang yang sampai kepada peniaga kecil, harga yang mampu diterima pengunjung, dan pengalaman yang membuatkan pengunjung rasa wang yang dibelanjakan mereka berbaloi.

F1 mungkin berlangsung hanya tiga hari. Tetapi perbualan tentang harga dan peluang ekonomi ini patut berlanjutan walaupun selepas perlumbaan tamat. Peniaga perlukan ruang untuk mencari rezeki. Pengunjung pula berhak menikmati makanan pada harga yang terasa adil dan berbaloi. Kalau kedua-duanya dapat berjalan seiring, barulah manfaat acara F1 dapat dirasai oleh lebih ramai.

Foto : NSTP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *