Ismail Sabri Memang Alami Masalah Kesihatan, Dibawa Ke IJN Oleh SPRM Semalam – Sumber
KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpura-pura sakit bagi mengelakkan pertuduhan di mahkamah hari ini tidak berasas, menurut sumber yang rapat dengan Ahli Parlimen Bera itu.
Sumber berkenaan berkata Ismail Sabri sememangnya mengalami masalah kesihatan sejak beberapa minggu lepas.
Menurutnya, ketika memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, beliau mengadu sakit dada sebelum dibawa oleh kakitangan suruhanjaya itu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan.
“Pada 23 Julai lepas, beliau turut mengalami masalah kesihatan apabila rebah secara tiba-tiba dan terjatuh sehingga mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala sebelum menerima rawatan di Hospital Pantai Bangsar.
“Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, beliau tetap turun berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini. Semalam sekali lagi beliau mengalami sakit dada ketika berada di SPRM,” kata sumber itu.
Sumber berkenaan berkata Ismail Sabri dijadual menjalani prosedur pemasangan alat perentak jantung (pacemaker) di IJN petang ini.
Terdahulu, prosiding pertuduhan terhadap Ismail Sabri ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan.
Peguam beliau, Datuk Amer Hamzah Arshad, berkata walaupun pihak pendakwaan telah menandatangani pertuduhan terhadap Ahli Parlimen Bera itu, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan dijalankan hari ini.
Beliau berkata Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan ketika berada di ibu pejabat SPRM semalam sebelum dibawa ke IJN bagi mendapatkan rawatan.
