KJ Kongsi Momen Naik Kereta Kebal Type 90 Di Kem Tentera Jepun
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencuri perhatian selepas berkongsi beberapa rakaman ketika berada di Camp Higashi-Chitose milik Pasukan Pertahanan Diri Darat Jepun atau JGSDF menerusi Instagram Story miliknya.
Dalam salah satu perkongsian tersebut, Khairy menulis:
“Camp Higashi Chitose. Japan Ground Self-Defense Force 7th Armored Division.”
Kapsyen itu memberi gambaran lebih jelas bahawa beliau berada di kem yang menempatkan Divisyen Ke-7 JGSDF di Chitose, Hokkaido.
Satu lagi rakaman yang dikongsikan memperlihatkan pandangan dari bahagian atas sebuah kereta kebal, dengan laras meriam utama kelihatan menghadap ke kawasan latihan yang berlumpur.
Khairy turut dilihat berada di atas kereta kebal Type 90, antara aset utama yang digunakan pasukan darat Jepun.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan penjelasan terperinci mengenai tujuan keberadaannya di kem tersebut atau sama ada ia melibatkan lawatan rasmi, program media mahupun kunjungan dalam kapasiti lain.
Type 90 ialah kereta kebal utama generasi ketiga Jepun yang mempunyai berat penuh kira-kira 50 tan, dikendalikan tiga anggota dan mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 70 kilometer sejam.
Kereta kebal berkenaan dilengkapi meriam laras licin 120 milimeter, mesingan berat 12.7 milimeter serta mesingan 7.62 milimeter. Mitsubishi Heavy Industries dan Japan Steel Works disenaraikan sebagai pengeluar utama aset tersebut.
Perkongsian Khairy itu hadir ketika Jepun sedang melalui perubahan besar dalam dasar industri pertahanannya.
Pada April 2026, kerajaan Jepun melakukan rombakan terbesar terhadap peraturan eksport pertahanannya dalam beberapa dekad dengan menggugurkan sekatan lima kategori yang sebelum itu mengehadkan kebanyakan eksport kepada aset penyelamat, pengangkutan, amaran, pengawasan dan pembersihan periuk api.
Perubahan berkenaan membuka ruang kepada penjualan kapal perang, peluru berpandu dan perkakasan ketenteraan lain, namun setiap cadangan masih tertakluk kepada penilaian, kawalan pemindahan kepada pihak ketiga serta larangan terhadap penjualan kepada negara yang terlibat dalam konflik.
