Baki 11,000 Babi, Pengosongan Di Ladang Tanjong Sepat Hampir Selesai
KUALA LANGAT – Proses pengosongan ladang babi di Tanjong Sepat kini berada di peringkat akhir dengan hanya kira-kira 11,000 ekor babi masih ditempatkan di sekitar 30 ladang yang masih beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, baki ternakan itu masih belum mencapai tempoh matang untuk dilupuskan atau disembelih sejak arahan penutupan dikeluarkan Februari lalu.
Menurutnya, tiada kemasukan benih atau anak babi baharu dibenarkan dan semua ternakan sedia ada akan dihantar secara berperingkat ke pusat penyembelihan di Rawang.
“Proses pengosongan sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui di Sijangkang, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan semua ladang babi di Tanjong Sepat akan ditutup sepenuhnya menjelang akhir bulan depan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mulai 1 Julai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri telah memberi tempoh kelonggaran selama enam bulan kepada pengusaha bagi menyelesaikan urusan termasuk penjualan ternakan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula kekal dengan pendirian baginda yang tidak memperkenankan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu.
Dalam perkembangan sama, Izham berkata kerajaan negeri akan membantu seramai 87 pengusaha ladang babi beralih kepada sektor pertanian lain selepas operasi ternakan dihentikan.
Katanya, perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini memberi fokus kepada usaha peralihan aktiviti pertanian bernilai tinggi di kawasan seluas kira-kira 350 ekar itu.
“Satu mesyuarat lanjut akan diadakan pada 9 Jun bagi mengenal pasti bentuk bantuan terbaik daripada kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk usaha pemulihan tanah di kawasan terbabit,” katanya.
