NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Gagal Sekat Kandungan Jelik, MCMC Keluar Tuntutan Statutori Terhadap Tiktok

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok susulan kegagalan platform itu mengambil tindakan segera terhadap kandungan jelik melampau, palsu, berunsur ancaman serta akaun palsu yang dikaitkan dengan institusi diraja.

MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tindakan tersebut diambil susulan penularan kandungan daripada satu akaun yang didakwa mempunyai kaitan dengan Sultan Ibrahim.

Menurut suruhanjaya itu, kandungan terbabit mengandungi kenyataan menghina, palsu dan mengancam selain melibatkan penggunaan video dijana kecerdasan buatan (AI) serta imej yang dimanipulasi.

“Malah kandungan berkenaan dipercayai berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain beberapa undang-undang jenayah lain di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, tuntutan yang dikeluarkan menghendaki TikTok mengambil langkah pembetulan segera termasuk memperkukuh sistem pemantauan serta pengendalian kandungan di platform berkenaan.

Selain itu, TikTok turut diminta meningkatkan penguatkuasaan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia dan garis panduan komuniti platform tersebut.

“MCMC juga menuntut penjelasan rasmi daripada TikTok berhubung kegagalan mereka menangani kandungan memudaratkan itu secara lebih pantas,” katanya.

Menurut suruhanjaya itu, walaupun makluman dan sesi libat urus sebelum ini telah dilakukan, respons TikTok disifatkan tidak memuaskan khususnya dalam memastikan kandungan diturunkan segera serta menghalang penyebaran lanjut.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk menyebarkan kandungan bersifat jelik melampau, palsu, mengancam atau boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Perkara ini amat sensitif kerana melibatkan isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja yang boleh menggugat keharmonian negara serta penghormatan terhadap institusi Perlembagaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan akan terus mengambil tindakan kawal selia dan undang-undang yang bersesuaian dalam menangani penyalahgunaan platform digital.

Pada masa sama, semua penyedia perkhidmatan media sosial diingatkan supaya bertindak lebih bertanggungjawab dan pantas dalam mengendalikan kandungan yang melanggar undang-undang atau boleh mengancam ketenteraman awam, khususnya melibatkan sensitiviti 3R.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *